Saturday 4 July 2009

Sejarah Solat




SUBUH:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Subuh ialah Nabi Adam a.s., iaitu tatkala baginda keluar dari syurga lalu dihantar ke bumi. Perkara pertama yang dilihatnya ialah kegelapan dan baginda berasa takut yang amat sangat. Apabila fajar Subuh telah keluar Nabi Adam a.s. pun bersembahyang dua rakaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur baginda kerana terlepas dari kegelapan malam.
Rakaat kedua:- Bersyukur baginda kerana siang telah menjelma.

ZOHOR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Zohor ialah Nabi Ibrahim a.s., iaitu tatkala Allah s.w.t. telah memerintahkan padanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Sedang seruan itu datangnya pada waktu tergelincir matahari, lalu sujudlah Nabi Ibrahim empat rakaat.
Rakaat pertama:- Bersyukur bagi penebusan.
Rakaat kedua:- Bersyukur kerana dibukakan dukacitanya dan juga anaknya.
Rakaat ketiga:- Bersyukur dan bermohon akan keredhaan Allah.
Rakaat keempat:- Bersyukur kerana korbannya digantikan dengan tebusan kibas.

ASAR:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Asar ialah Nabi Yunus a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari perut ikan nun. Ikan nun telah memuntahkan Nabi Yunus di tepi pantai sedang ketika itu telah masuk waktu Asar. Maka bersyukurlah Nabi Yunus lalu bersembahyang empat rakaat kerana baginda telah diselamatkan oleh Allah daripada 4 kegelapan iaitu:
Rakaat pertama:- Kelam dengan kesalahan.
Rakaat kedua:- Kelam dengan air laut.
Rakaat ketiga:- Kelam dengan malam.
Rakaat keempat:- Kelam dengan perut ikan Nun.

MAGHRIB:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Maghrib ialah Nabi Isa a.s., tatkala baginda dikeluarkan oleh Allah dari kejahilan dan kebodohan kaumnya, sedang waktu itu telah terbenamnya matahari. Bersyukurlah Nabi Isa lalu bersembahyang tiga rakaat kerana diselamatkan dari kejahilan tersebut, iaitu:
Rakaat pertama:- Untuk menafikan ketuhanan selain daripada Allah yang Maha Esa.
Rakaat kedua:- Untuk menafikan tuduhan dan juga tohmahan ke atas ibunya Siti Mariam yang telah dituduh melakukan perbuatan sumbang.
Rakaat ketiga:- Untuk meyakinkan kaumnya bahawa Tuhan itu hanya satu iaitu Allah jua, tiada dua atau tiga.

ISYAK:
Orang yang pertama mengerjakan sembahyang Isyak ialah Nabi Musa a.s. Pada ketika itu Nabi Musa telah tersesat mencari jalan keluar dari negeri Madyan, sedang dalam dadanya penuh dengan perasaan dukacita. Allah lalu menghilangkan semua perasaan dukacitanya itu pada waktu Isyak yang akhir. Lalu sembahyanglah Nabi Musa empat rakaat sebagai tanda bersyukur.
Rakaat pertama:- Dukacita terhadap isterinya.
Rakaat kedua:- Dukacita terhadap saudaranya Nabi Harun.
Rakaat ketiga:- Dukacita terhadap Firaun.
Rakaat keempat:- Dukacita terhadap anak Firaun.

Islam Itu Indah











Keindahan Dalam Kesenian Islam

Menurut Anwar Talib[i] dalam kajian sarjana beliau tentang keindahan kesenian Islam beliau menggambarkan ‘bahawa keindahan’ adalah subjek yang sentral atau utama malah menjadi objektif kepada setiap pengkaryaan bahan seni. Ini adalah adalah berdasarkan kenyataan bahawa keindahan itu merupakan manifestasi daripada sifat-sifat Tuhan.

Keindahan Tuhan atau Al-Jamal merujuk kepada kebenaranNya atau Al-Haq dan kesempurnaan Nya atau Al-Kamal dan sifat-sifat tersebut saling berkaitan dan terkumpul pada (NamaNya) Allah yang Esa atau Ahad. Justeru itu setiap karya kesenian Islam bertujnaaan dan ke Esaan Allah.

Hasil kerja yang indah dalam segala bentuk kesenian Islam terdahulu memupuk suasana yang mendorong jiwa kepada ‘Yang Benar’.

Dalam Islam keindahan dikaitkan dengan keinginan kepada sumber mencari kebenaran, ‘Tuhan itu indah dan Dia cintakan kepada Keindahan’. (Perawi Muslim).

Dalam Islam keindahan seni terhasil melalui jalan rasional dengan perundangan yang logik lagi objektif dimana sains, matematik dan astronomi menjadi alat untuk melahirkan seni yang indah. Maka prinsip rekabentuk dapat ditemui dengan jelas tanpa sebarang kekaburan. Prinsip-prinsip tampak seperti kadaran, ulangan, keseimbangan simetri, susunan, kepelbagaian, dan keharmonian dinyatakan dalam bentuk tampak dengan berkesan dan tepat. Prinsip keindahan tersebut adalah ‘fundamental’ dalam kesenian Islam kerana sifat seninya yang menolak kecelaruan, ketegangan, individualistik, kekacauan, provokatif dan lain-lain sifat seni yang tidak tenteram.

Semestinya estatika atau keindahan dalam kesenian Islam berdasarkan kepada kalimah Tawhid atau kalimah Tayyibah. Kalimah yang dipertahankan dengan nyawa atau apa saja. Disini bermaksud bahawa para pengkarya yang taqwa dan berakal menampilkan kerja seni dengan tuntunan kalimah tersebut tanpa menyinggung Penciptanya. Kalimah tersebut ditegaskan dengan Al-Quran dimana AI-Quran itu sendiri adalah wahyu yang terindah dari sudut sasteranya dan ianya menjadi bahan rujuk agama dan juga seni. Pengkaji seperti L. Faruqi mendapati pada Al-Quran mempunyai keindahan dari sudut bahasa dan sastera dan ianya berciri ‘abstrak’ yang tidak mampu ditiru.

Estatika kesenian Islam didasarkan kepada sifat Tawhid tentunya mendapat petunjuk dari Wahyu iaitu Al-Quran dan as-Sunnah walaupun secara tidak langsung. Umumnya keindahan kesenian Islam ditelusuri dengan melihat atau mengamati kesenian arabes dan kaligrafi iaitu ‘seni utama’ yang menyatukan seni seni lain. Dari dua jenis seni tersebut maka dapatlah dikaji dan dianalisa bentuk dan ‘content’ kesenian Islam. Pada kedua-dua jenis kesenian itu dapat dirumuskan bahawa terdapat ciri-ciri stalisasi, ulangan, tiada penonjolan atau ‘non-individuation’, tiada berkembang atau ‘non-developmental’, bersambungan dan bersendirian. Keseluruhan ciri tersebut secara tidak langsung menekankan kepada pernyataan Tawhid iaitu seni yang monggambarkan Tuhan yang tiada upaya dan daya untuk digambarkan.

Stalisasi ditakrifkan sebagai upaya merubah alam kepada yang esensi atau bentuk alam diubah menjadi bentuk abstrak sebagai gesaan untuk tidak meniru hasil ciptaanNya terutama makluk bernyawa. Secara tidak langsung bererti tidak mahu menyamai ciptaanNya. CiptaanNya itu dengan demikian dimuliakan lagi dihormati sebagai tanda-tanda kebesaran Allah. Hal ini juga berhubungkait dengan isyarat Al-Quran yang menyatakan tiada sesuatupun yang menyerupaiNya.

Ketiadaan penonjolan bermaksud bentuk tidak menampakkan penonjolan kerana bentuk itu diulang-ulang seperti tiada akhirnya. Bentuk-bentuk tersebut tidak membawa kepada penegasan. Secara simbolik, bermaksud Allahlah yang mula dan dan Dialah yang akhir, kekal dan selama-lamanya. Secara tidak langsung ianya amat berhubung kait dengan cetusan kefahaman Tawhid.

Ulangan atau ‘repitition’ bermaksud bentuk diulang-ulang tanpa akhiran. Tiada berkembang bermaksud ketiadaan kemuncak dan anti-kemuncak di mana ciri-ciri tersebut berhubungan dengan cetusan penghayatan Tawhid para pengkarya yang mengenal Islam.

Tema infiniti dalam arabes dan kaligrafi menjelaskan kefahaman Islam tentang bagaimana keseniannya perlu dibentuk dan dengan ini membezakannya dari kesenian lain. Justru itu, keindahan yang difahami oleh Islam adalah berpaksikan anjuran Tawhid yang membentuk ciri-ciri kesenian Islam.

Azizul Azli Ahmad





[i] Talib, Anwar.1998. The Tradition of Tauhid in Islamic Art; Decoration and Interior Spaces of The Traditional Mosque. Thesis UKM.

Bicara 1










Salam Semua

Moga Allah SWT memberkati dan merahmati semua Umat Islam,

Sekadar berkongsi dan memudah cara buat semua pencinta ilmu terutama pelajar-pelajar saya yang dikasihi.


Menuntut ilmu itu adalah kewajipan keatas kamu, moga diberkati dan memberi manafaat kepada semua.

Azizul Azli Ahmad
azizulazliahmad.blogspot.com

PENGENALAN KESENIAAN ISLAM








AI-Quran dan As-Sunnah Sebagai Sumber Kesenian Islam

Menurut Ismail Al-Faruqi, AI-Quran adalah sumber seni par excellence yang mencetus kesenian Islam[i]. Fakta ini adalah benar kerana menifestasi kesenian Islam atas dasar wahyu telah berlangsung berabadabad lamanya sehingga kini. Menifestasi ini dapat dilihat pada seluruh penghasilan umat Islam terdahulu dan sekarang. Terdapat hubungan akrab antara AI-Quran dengan hasil seni Islam di mana Al-Quran membentuk kesenian tersebut kerana adanya keupayaan mendidik atau sebagai satu bahan seni yang tertinggi yang didatangkan dari ‘atas’ sebagai rahmat kepada sekelian alam. Kenyataan ini tidak dapat disangkal kerana Allah menegaskan dengan firmanNya yang bermaksud:

Jika kamu ragu-ragu tentang yang Kami turunkan kepada hamba Kami, maka perbuatlah olehmu satu surah seumpamanya dan panggillah saksi saksi mu lain dari Allah, jika kamu orang yang benar (Al Quran, 2: 23).

Al-Quran adalah wahyu yang tidak mampu ditiru oleh manusia dan bersifat ‘segar’ dan sepanjang zaman. Sejarah Islam membuktikan bahawa setelah dicabar oleh Allah, mereka yang tampil untuk mencipta surah seumpama wahyu ini menemui kebuntuan. Kehebatan wahyu yang terus-menerus diemulasi oleh kaum Muslim bukan setakat sebagai panduan hidup tetapi juga sebagai bahan rujuk kepada kesenian Islam.

Menurut Ismail Al-Faruqi lagi, AI-Quran bukan bahan sastera yang mempunyai jalan cerita sebagaimana bahan sastera ciptaan manusia. AlQuran memberi khabar gembira, perintah, larangan dan harapan. Ternyata ia adalah wahyu Allah kepada kekasihNya untuk manusia yang disampaikan dengan perantaraan Ruhul Kudus melalui lisan Arab. AlQuran disusun dengan arahan Allah melalui Jibrail Alaihissalam bersama Nabi Besar tanpa patuh pada urutan sejarah dan hal ini membuat ianya sangat unik. Ayatnya bebas dan tidak tertakluk kepada kaedah prosa yang bersifat narratif sebagaimana terdapat dalam karya sastera ciptaan manusia. Ayat AI-Quran boleh bermula dengan pengkisahan, tiba-tiba selepas itu dengan ayat amaran, larangan dan sebagainya. Justru, AlQuran bukan ‘sastera’ yang bersifat organik yang terdapat klimaks dan anti klimaks walaupun ada bahagian-bahagian ayat bersifat demikian. Keseluruhan bentuk dan isi Al-Quran adalah sangat indah dan tinggi nilai sasteranya walaupun ianya bukan bahan sastera[ii]. Keadaan ini telah menampakkan Al-Quran itu bersifat mujarad kerana susunan, bentuk ayat, ketiadaan jalan cerita dan ayat berkenaan dengan konsep ketuhanan itu sendiri. Cara menggambarkan kesenian Islam inilah diselaraskan dengan apa yang diwahyukan Allah tentang ZatNya yang tidak menyerupai satu apapun[iii] oleh pengkarya Islam. Keadaan ini dikaitkan dengankududukanNya yang ‘Transedent’ yang terpisah, dengan alam tabii ciptaanNya
Waalaupun begitu ia berdaya menanggapi segala sesuatu sebagaimana firmainNya dalam terjemahan berikut:

“Dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada”.
(Al-Quran, 57: 4).

Dalam hal ini, perlu jug disentuh berkenaan Nabi Muhammad SAW semasa hidupnya tidak berminat kepada seni lukisan bentuk berwajah asli atau bersumberkan alam tabi. Menurut Abul Hasan Ali An-Nadwi seorang pemikir Islam mengatakan bahawa kebencian Islam terhadap gambar dan patung sudah tersurat dari tindak-tanduk Nabi Besar. Diriwayatkan oleh Bukhary dan Muslim dari Aisyah r.a. mengatakan:

“Rasulullah SAW, Datang dari perjalanan. Saya menutup sebuah pintu dengan kain yang padanya ada gambar-gambar yang timbut (tamatsil). Baru sahaja Rasulullah SAW melihatnya, langsung beliau merobeknya dan muka beliau merah padam. Lalu berkata, “Hai Aisyah, manusia yang paling berat siksanya di hari kiamat ialah orang yang meniru bentuk ciptaan Allah”. Berkata Aisyah, “Kain tutup pintu ini kami potong-potong menjadi satu atau dua buah bantal.”

Ketidak kecenderungan ini mencerminkan tentangan beliau keatas seni yang berunsur figuratif hasil kefahaman beliau menjiwai AI-Quran. Nabi telah mengimbas penolakan terhadap naturalisma kerana beliau telah nampak kesan buruk kemudian hari. Di sini terdapat empat aspek utama yang membentuk kesenian Islam iaitu ayat Al-Quran itu sendiri, kehebatan AI-Quran dalam gaya sasteranya. wahyu-wahyu tentang Allah yang tidak mampu digambarkannya dan tindak balas Nabi terhadap hiasan berbentuk fuguratif yang berupa Sunnahnya. Aspek tersebut telah membentuk kesenian Islam yang umumnya bercirikan ayat Al-Quran yang lebih dikenali sebagai seni khat dan seni bersifat kemujaradan ataupun abstrak yang lebih dikenali sebagai arabes. Tegasnya dalam kontek seni tampak, kesenian Islam hanya dapat dibahagikan kepada dua unsur seni sahaja iaitu seni khat dan seni arabes. Unsur ini yang dikatakan sebagai unsur pemersatuan atau unsur yang memberi keseragaman kepada kesenian yang lain seperti seniruang, seni permaidani, seni ukiran dan sebagainya.

Unsur ini dikatakan sebagai unsur yang menyeragamkan kesenian Islam yang terdapat di seluruh ceruk rantau Islam tak kira di mana sahaja. Di sini terletaknya kehebatan unsur seni ini.
1.1 Masjid Pulau Penyengat, Riau, Sumatra. 1832





[i] Al-Faruqi, Ismail. (1999). The Culture Atlas of Islam, Macmillan Publishing company, New York.hlm.421

[ii] Al-Faruqi, Ismail. (1999). The Culture Atlas of Islam, Macmillan Publishing company, New York.hlm.421
[iii] Al-Quran, 42: 11